comscore
Tumpuan :
Nasional

Tidak kisah berbelanja besar, demi kasih pada kucing jalanan

Oleh: Izzatie Rizan

KUALA LUMPUR: Demi sifat kasih pada makhluk ciptaan Tuhan, seorang warga emas akan berjalan kaki setiap hari mengelilingi Taman Perumahan Million di Sentul ibu negara bagi memberi makan kepada kucing jalanan.

Mula berkongsi rezeki selepas bersara 10 tahun lalu, tugas istimewa itu akan dilakukan Sylvester D. Cruz seawal jam 7 pagi, menyantuni hampir 30 si bulus terbiar yang dianggap seperti ‘anak sendiri’.

Ditemui Buletin TV3, sosok tubuh warga emas ini memang cukup dikenali penduduk setempat.

Bertopi ala koboi serta sering memakai baju bercorak terang, gelagat Sylvester 75, melayani kucing jalanan cukup menghiburkan jiran tetangga.

Semua si bulus dipanggil dengan panggilan comel, serta dilayan tanpa pilih bulu.

Melakukan tanggungjawab itu tanpa gagal setiap pagi dan petang, beliau berkata rutin berkenaan dilakukannya kerana kasihan melihat nasib haiwan ini yang tidak mendapat makanan sempurna.

Menurutnya selain berkongsi rezeki, aktiviti memberi makan kepada kucing ini juga secara tidak langsung menjadi satu senaman.

“Selepas bersarapan, saya akan pusing taman ini, tanya kawan-kawan sihat ke tidak, kemudian sambil jalan saya akan beri makan kepada kucing-kucing ini.

“Kucing-kucing terbiar ini sudah mengenali suara saya dan pasti akan menghampiri saya dengan manja. Seronok sebenarnya, macam anak-anak saya akan pastikan keadaan mereka, dan jika sakit akan dihantar ke klinik,” katanya.

Menganggap semua kucing berkenaan peneman usia emasnya, dia bersyukur masih diberikan kesihatan yang baik bagi memberi makanan kepada haiwan terbiar.

Pesara ini juga mengakui dia tidak mengharapkan balasan mahupun pujian orang ramai sebaliknya ikhlas semata-mata.

Tinjauan kami juga mendapati kebanyakan kucing di kawasan ini berkeadaan sihat belaka hasil penjagaan beliau.

“Memang ada segelintir orang tidak suka dengan usaha yang saya lakukan…kata mereka kucing-kucing ini akan mengotorkan tempat mereka. Namun saya tak berkecil hati, kucing atau anjing pun hendak hidup juga, sama macam manusia yang perlukan makanan untuk hidup, jadi tidak salah kita berkongsi rezeki dengan haiwan yang juga makhluk ciptaan Tuhan,” ujarnya lagi.

Tidak kisah berbelanja besar setiap bulan, kawasan sekitar dipastikan bersih selepas dia memberi hidangan kepada kucing-kucing berkenaan.

Selain menyantuni haiwan jalanan, kudratnya turut ditaburkan selaku sukarelawan Persatuan Haiwan Malaysia yang turut membantunya membekalkan bantuan makanan kepada kucing jalanan.

Sementara itu, kakitangan Persatuan itu, Dhia Tihani Ab Ghapar berkata, dia terharu dan bangga dengan usaha dilakukan warga emas itu yang turut memberi makanan kepada anjing terbiar.

“Andai ada ramai lagi orang seperti beliau, nescaya nasib kucing terbiar terbela. Usaha seperti ini perlu diteruskan dan dijadikan contoh kepada orang ramai,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini