comscore
Tumpuan :
Nasional

TH belanja RM350 juta pastikan urusan haji tahun ini lancar

Aminuddin Harun (tujuh dari kiri) ) dan Mohamed Heikal Mohamed Yusuf (lapan dari kiri) bergambar kenangan bersama pembimbing haji selepas Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Musim 1445H/2024M Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Hussin Seremban 2, hari ini. Foto NSTP

SEREMBAN: Lembaga Tabung Haji (TH) menanggung lebih RM350 juta membabitkan kos langsung dan tidak langsung menerusi Bantuan Kewangan Haji, tahun ini, susulan kos pengurusan haji yang meningkat.

Pengurus Besar Pengurusan Haji TH, Mohamed Heikal Mohamed Yusuff, berkata peruntukan itu untuk memastikan urusan haji membabitkan 31,600 bakal jemaah tahun ini berjalan lancar.

Beliau berkata, kos yang diperuntukan itu termasuk bagi urusan penerbangan, penginapan, sajian makanan dan pengangkutan serta pelbagai bayaran kepada pihak ketiga di Tanah Suci.

Katanya, selain itu, ianya juga membabitkan kos penganjuran kursus, ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan serta operasi haji di tanah air di lapan stesen berlepas.

“Walaupun kos meningkat saban tahun, namun semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh TH kekal komprehensif dan di tahap tinggi demi menjaga kebajikan, keselesaan serta keselamatan jemaah haji Malaysia.

“Insya-Allah, TH akan menguruskan seramai 31,600 orang jemaah Malaysia ke Tanah Suci pada tahun ini,” katanya pada Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Musim 1445H/2024M Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Hussin Seremban 2, di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Mohamed Heikal berkata, peningkatan kos haji setiap tahun disebabkan pelbagai faktor di luar kawalan TH seperti kadar inflasi, cukai nilai tambah (VAT), peningkatan caj perkhidmatan Arab Saudi, kos pasca COVID-19, serta pembangunan di Makkah dan Madinah.

“Bagaimanapun seperti tahun-tahun sebelum ini, TH meneruskan Bantuan Kewangan Haji bersasar kepada golongan B40 dan M40 bagi membantu mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini