comscore
Tumpuan :
Nasional

Penghantar barang cedera dipukul kerana enggan tolong angkat tong gas

Foto hiasan

AMPANG JAYA: Hanya kerana enggan membantu untuk mengangkat tong gas, seorang penghantar barang cedera dipukul.

Kejadian berlaku di Taman Putra, di sini, Jumaat lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa yang berusia 36 tahun terserempak dengan suspek yang hampir jatuh ketika membawa tong gas.

“Mangsa kemudian membantu lelaki itu daripada terjatuh namun suspek meminta mangsa mengambil tong gas dan meletak di atas motosikalnya.

“Mangsa enggan berbuat demikian kerana mempunyai masalah tulang belakang. Suspek kemudian berang dan bertindak agresif dengan mengacukan pistol mainan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, suspek juga memukul mangsa dengan topi keledar di bahagian dahi sehingga mendatangkan kecederaan.

“Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian. Susulan itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berjaya menahan suspek berusia 31 tahun di Kampung Tasik Permai Ampang semalam.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau. Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini