comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pemilik restoran teruja pelanggan datang naik helikopter


LANGKAWI: Seorang pemilik restoran menyifatkan kunjungan sekumpulan pelanggan untuk menikmati makan tengah hari di restorannya di sini hari ini dengan menaiki helikopter adalah pengalaman sangat berharga dan mencatat sejarah tersendiri kepadanya.Zaidi Hassan, 40, pengusaha restoran Dangau Langkawi berkata pada mulanya dia terkejut dan ketawa ketika menerima panggilan telefon daripada pelanggan tidak dikenali mahu ke restorannya dengan menaiki helikopter.

Tangkap layar video memaparkan sebuah helikopter mendarat di kawasan lapang berhampiran restoran Dangau Langkawi.

Katanya, dia mengusahakan restoran makanan tradisonal Melayu itu sejak dua tahun lalu dan menerima panggilan daripada pelanggan terbabit pada jam 1.35 tengah hari, hari ini.

“Mulanya, saya ingat ada rakan yang mahu bergurau, dia (pelanggan) sebut nak makan tengah hari menu set talam yang popular di restoran saya, dan dia bersama beberapa orang nak datang dengan helikopter.”

“Saya tanya balik serius ke tempahan ni? Pelanggan tu jawab tunggu 15 minit lagi saya sampai dan turut bertanya mengenai tempat lapang untuk mendarat berhampiran restoran,” katanya ketika dihubungi di sini.

Tangkap layar video memaparkan pemilik restoran Dangau Langkawi, Zaidi Hassan yang teruja selepas sekumpulan pelanggan datang ke restorannya dengan menaiki helikopter.

Zaidi berkata dalam tempoh 20 minit kemudian dia terdengar bunyi helikopter terbang rendah dan bunyi enjinnya semakin kuat serta menghala ke kawasan lapang berhampiran restorannya.

“Helikopter yang saya tidak pasti jenisnya itu telah mendarat di kawasan tanah lapang yang baharu ditambak tanah merah berjarak kira-kira 20 meter dari restoran saya pada jam lebih kurang 2 petang tadi.”

“Terdapat sekurang-kurangnya enam individu yang tiba menaiki helikopter, manakala makan tengah hari itu turut disertai antara 10 hingga 15 individu lain yang tiba dengan kereta hampir serentak,” katanya.

Tangkap layar video memaparkan pemilik restoran Dangau Langkawi, Zaidi Hassan yang teruja bergambar dengan sekumpulan pelanggan yang datang ke restorannya dengan menaiki helikopter.

Beliau berkata keseluruhan kos makan bagi set talam yang mengandungi kari ikan, udang sambal petai, ikan bakar, ulam-ulaman dan sambal belacan serta minuman ditempah oleh kumpulan pelanggan terbabit sekitar RM500.

“Mereka berada di restoran saya kira-kira sejam, sebelum kesemuanya berlepas pulang, malah saya tidak mengenali semua individu yang datang ke restoran saya dengan menaiki helikopter itu.”

“Saya juga tidak pasti dan tidak bertanya mereka datang dari mana? Namun ada mendengar seorang daripada kalangan mereka dipanggil dengan gelaran ‘datuk’,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari ketika dihubungi berkata pihaknya dimaklumkan pendaratan helikopter berhampiran restoran Dangau Langkawi petang tadi dalam pengetahuan dan kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Terdahulu, Zaidi berkongsi keterujaannya menerima pelanggan istimewa itu dengan memuat naik video berdurasi 1 minit 33 saat di laman Facebook miliknya petang ini, dan mendapat komen positif dan kata-kata semangat netizen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini