comscore
Tumpuan :
Nasional

Keutamaan KDN adalah kebajikan 142,000 anggota PDRM – Saifuddin 

Foto hiasan

Oleh: Fahmi Tajuddin

HULU SELANGOR: Keutamaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada ketika ini adalah untuk menjaga kebajikan seluruh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail berkata selain aspek semakan kenaikan gaji, aspek penambahbaikan elemen prasarana juga ditekankan oleh kementeriannya.

“Seperti yang diumum oleh Perdana Menteri, terkait dengan semakan Skim Perkhidmatan Awam yang akan diperincikan menjelang bajet pada hujung tahun, yang kedua adalah aspek penambahbaikkan elemen prasarana, yang sedang berjalan di seluruh negara dengan rancaknya.

“Sama ada ianya merupakan kuaters (tempat kediaman) ataupun IPD, balai polis atau kompleks polis yang lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengulangi komitmen untuk melaksanakan semua pelan dan dasar yang sudah dirangka terhadap PDRM.

Tambahan pula, katanya PDRM merupakan kumpulan penjawat awam terbesar yang akan menikmati manfaat kenaikan gaji kelak.

“Jadi saya ulangi komitmen di peringkat KDN dan Ketua Setiausaha sebagai peneraju utama, di peringkat pelaksanaan seperti apa kami rancang untuk memberikan komitmen berterusan kepada pasukan polis di semua peringkat dan aspek kebajikan itu adalah keutamaan kami.”

“Kekuatan pasukan polis (semasa) adalah 142,000 terdiri daripada uniform dan civilian. Dalam pasukan polis ada kumpulan sokongan. Jadi 142,000 satu kelompok yang besar akan menikmati manfaat pengumuman yang disebut oleh Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Kubu Bharu pada Jumaat.

Bagaimanapun, jelasnya, perkara berkenaan masih dalam proses perincian oleh pihak jawatankuasa terlibat dalam memperhalusi segala bentuk penambahbaikan terhadap kebajikan PDRM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini