comscore
Tumpuan :
Nasional

Insiden kebakaran kilang cat: Bahang api mengandungi kimia jejaskan penduduk di Meru

Kebakaran dua buah bangunan kilang cat di Taman Perindustrian Meru disini menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk tempatan.- FOTO: JBPM Selangor

Oleh: Fahmi Tajuddin

KAPAR: Bahang api dan bahan kimia akibat daripada kebakaran dua buah bangunan kilang cat di Taman Perindustrian Meru di sini menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk tempatan.

Seorang penduduk, Zahrullail Abdul Manap berkata, kebakaran itu menyebabkan beliau mengalami kesukaran bernafas.

Zahrullail Abdul Manap, penduduk

“Saya mula dengar mula letupan kuat sekitar jam 6.30 pagi. Bila keluar tengok api sudah marak di kawasan kilang berkenaan.

“Sejak kebakaran berlaku saya boleh merasakan ada sedikit kesukaran bernafas sebab bahan kimia cat dari kilang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Ahmad Hadi Najwan Ahmad Yusri berkata, kenderaan miliknya terjejas dengan bahang api yang merebak dari kilang hingga ke hadapan kediaman penduduk.

Ahmad Hadi Najwan Ahmad Yusri, penduduk

“Saya parkir kereta di hadapan kawasan rumah, bahan kimia dari kilang tersebut menyebabkan kebakaran susulan berlaku di kawasan kebun di hadapan rumah.

“Saya terus mengalihkan kereta untuk parkir di tempat selamat. Tapi bahagian belakang kereta, nombor plat dan lampu cair akibat terkena bahang api,” katanya.

Selain itu dua buah sekolah berdekatan di sini juga diarahkan tutup atas faktor keselamatan.

Ia termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Meru dan Sekolah Rendah Agama (SRA) II Meru.

Setakat ini, kebakaran dua bangunan kilang berkenaan dalam keadaan terkawal, dengan sejumlah 39 anggota dan jentera dari 11 Balai Bomba dan Penyelamat terlibat dalam operasi pemadaman.

Loading...
Terkini