comscore
Tumpuan :
Nasional

Anjing punca budak nyaris digilis kenderaan ditangkap

MANJUNG: Anjing yang mengejar seorang kanak-kanak lelaki sehingga menyebabkan dia nyaris digilis kenderaan di Jalan Haji Mohamad Ali, di sini semalam sudah ditangkap oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Jabatan Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MPM dalam kenyataan berkata Unit Haiwan Merayau, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan mengambil tindakan demikian terhadap anjing berwarna putih terbabit selepas menerima rakaman video yang tular berhubung kejadian pada jam 9 pagi semalam.

Menurutnya, tangkapan itu dilakukan berpandukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Manjung) 1993.

“Berdasarkan semakan dan siasatan, anjing tersebut mempunyai permit daripada MPM serta mempunyai pemilik. Justeru, MPM telah menangkap tiga anjing termasuk anjing terbabit pada hari yang sama, jam 11.00 pagi kerana pelanggaran syarat dan peraturan Undang-undang Kecil.”

“Hal ini berikutan pemilik gagal mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan anjing tidak menyebabkan kacau ganggu kepada jiran-jirannya, salakan yang tidak berhenti henti atau selainnya dan mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan bahawa anjing itu tidak merayau di luar kawasan premis pemiliknya dan anjing itu berikat tali apabila dibawa keluar dari premis pemiliknya,” katanya, hari ini.

Katanya lagi, anjing yang mengancam nyawa boleh diambil tindakan pelupusan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berdasarkan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

“MPM akan merujuk JPV untuk tindakan lanjut,” katanya.

Semalam, tular video berdurasi 20 saat memaparkan dua kanak-kanak yang panik melarikan diri selepas dikejar seekor anjing.

Kejadian yang dirakam pengguna jalan raya itu memaparkan seorang daripada mereka berlari melintas jalan.

Malangnya kanak-kanak itu terjatuh menyebabkan sebuah kereta Proton Wira yang berada di lorong kanan terpaksa mengelak hingga terbabas menaiki pembahagi jalan.

Tindakan pantas pemandu berkenaan menyelamatkan kepala kanak-kanak itu daripada digilis kenderaan dipandunya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini