comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kononnya nak kejar RM300 tapi rugi RM13,460

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan.

KUALA TERENGGANU: Hajat seorang lelaki ingin mencari wang tambahan bagi persiapan hari raya sekadar menyebabkan dia kerugian RM13,460 apabila terpedaya dengan penipuan tawaran kerja.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata mangsa usia 50 tahun dan bekerja sendiri menerima satu kiriman Whatsapp daripada nombor yang tidak dikenali menawarkan peluang kerja secara atas talian dengan cara like dan subscribe Youtube video dengan pulangan bayaran yang menarik.

Menurutnya, mangsa kemudian diberikan tugasan satu sehingga tiga dan menerima bayaran seperti yang dijanjikan iaitu RM15 untuk setiap tugasan.

Gembira dengan bayaran diterimanya, mangsa kembali menyertai tugasan itu dengan harapan mendapat pulangan yang lebih besar.

“Bagi tugasan keempat dan kelima mangsa ditawarkan bayaran sebanyak RM20 dengan syarat tugasan keenam perlu diselesaikan agar pulangan lebih besar dapat diperolehi iaitu RM130.”

“Namun mangsa perlu mendepositkan wang pendahuluan dengan menggunakan wangnya sendiri iaitu RM100,” katanya.

Menurut Mazli, selepas menerima bayaran tugasan satu hingga sembilan, mangsa menjadi lebih yakin dan ingin meneruskan lagi tugasan yang diberikan iaitu tugasan ke-10 hingga ke-12 dengan syarat mangsa perlu mendepositkan RM300 ke akaun yang dibekalkan oleh scammer bagi menerima bayaran berjumlah RM390.

Katanya, mangsa tidak mengesyaki apa-apa penipuan disebabkan pernah mendapat bayaran dan memikirkan perlu mencari wang tambahan bagi persiapan hari raya sebelum mangsa membuat transaksi sebanyak RM1,000 bagi mendapat pulangan sebanyak RM1,300.

Beliau berkata mangsa mula merasa diperdaya selepas melakukan tugas ke-18 dengan memasukkan wang berjumlah RM4,860 ekoran terdapat kesilapan yang dilakukannya dalam menyelesaikan tugasan sebelum ini.

“Kerana ingin memperbaiki kesilapan dan yakin akan dapat mengeluarkan semula wang seperti yang dijanjikan, mangsa kemudian membuat transaksi sebanyak RM4,860 ke akaun yang dibekalkan, namun mangsa tidak menerima wang seperti dijanjikan.”

“Disebabkan terperangkap dari awal dan masih ingin mendapatkan semula wangnya, mangsa melakukan tugasan lain dan perlu mendepositkan RM17,200 pula bagi memperolehi pulangan berjumlah RM32,735,” katanya.

Mazli berkata, mangsa tidak mempunyai wang sebanyak itu dan menyebabkan mangsa membuat pinjaman wang daripada ahli keluarga dan mangsa dapat mengumpul sebanyak RM7,200.

Tambahnya, selepas melakukan transaksi, mangsa diberitahu pengeluaran tidak dapat dikreditkan ke dalam akaun mangsa kerana gagal melaksanakan tugasan yang diberikan.

Katanya, sebaliknya mangsa perlu membuat bayaran lagi dan mengakibatkan mangsa merasa diperdaya sehingga mengalami kerugian berjumlah RM13,460.

Menurut Mazlin, pihak polis mengingatkan orang ramai untuk berhati-hati supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran kerja secara atas talian dengan menawarkan pulangan gaji lumayan yang diiklankan dalam laman media sosial.

Menurutnya, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Terengganu (JSJKT) bagi tempoh bermula 21 April hingga 28 April 2024 (hari ini), sebanyak 103 laporan polis diterima berbanding 98 laporan bagi minggu sebelumnya dengan peningkatan sebanyak lima kes.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 kertas siasatan dibuka dengan jumlah kerugian sebanyak RM74,717.

Beliau berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 20 April 2023 JSJKT merekodkan sebanyak 1,838 laporan polis yang diterima berbanding 1,588 laporan polis bagi tempoh sama tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini