comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Musim mencandat sotong tiba lagi di laut Kuala Nerus

Khalid Hashim menunjukkan sotong yang diperolehinya melalui aktiviti mencandat.- Foto: NSTP

KUALA NERUS: April hingga Oktober merupakan bulan yang dinanti-nantikan pemburu sotong. Dalam tempoh ini, sotong lebih mudah diperolehi.

Khalid Hashim, 40, dari Kampung Baru Seberang Takir, dekat sini berkata bulan April hingga Oktober, dia memfokuskan hanya untuk menjalankan aktiviti mencandat sotong.

Menurutnya, musim ini sotong mudah diperoleh dan sudah menjadi satu ‘fenomena’ apabila pengunjung dalam dan luar negeri Terengganu juga turut tertarik untuk sama-sama melakukan aktiviti mencandat.

Katanya, dia sebagai nelayan sememangnya akan ke laut setiap hari namun sekiranya ada permintaan untuk membawa pemancing dia akan menyewakan botnya bagi tujuan mencandat.

“Alhamdulillah, musim sotong sekiranya ada rezeki saya mampu memperoleh pendapatan antara RM200 hingga RM1,200 sehari bergantung kepada hasil tangkapan sotong.”

“Kerja sebagai nelayan pendapatan bergantung kepada hasil yang diperoleh, sehari kalau tidak ada tangkapan pun pernah berlaku. Lebih 100 kilogram (kg) hasil yang diperoleh pun ada,” katanya yang bekerja sebagai nelayan sejak berusia 11 tahun.

Menurutnya, dia pernah dua hari tidak pulang kerana ‘berkampung di kandang sotong’ (tempat yang mempunyai banyak sotong) dan persiapan awal sudah dibuat dengan membawa bekalan petrol, air batu dan makanan yang mencukupi.

Suhaimi Sharifudin (kanan) dan Ahmad Kamal Hashim mengasingkan hasil yang diperoleh sebelum dijual kepada pemborong.- Foto: NSTP

Katanya, jarak sejauh lapan hingga 15 batu nautika sudah memadai untuk mencari lubuk sotong dan hasil yang diperoleh dijual bergantung kepada harga semasa yang dibeli oleh pemborong antara RM25 hingga RM28 sekilogram.

Sementara itu, Suhaimi Sharifudin, 47, dari Kampung Seberang Takir berkata bulan April merupakan pembuka tirai bagi aktiviti mencandat sotong di negeri ini dan sebagai nelayan dia akan lebih memfokuskan untuk mendapatkan hasil laut berkenaan.

“Hasil tidak menentu antara 20kg hingga 90kg mampu diperoleh dan harga pula bergantung kepada pemborong antara RM27 hingga RM29 sekilogram.”

“Namun, harga boleh meningkatkan apabila hasil tangkapan sotong menurun dan bekalan di pasaran sedikit,” katanya.

Menurutnya, musim mencandat seakan satu tarikan kerana ramai nelayan menyewakan bot-bot mereka untuk dijadikan aktiviti ‘sport fishing’.

Ahmad Kamal Hashim, 38, berkata musim mencandat merupakan lubuk rezeki bagi nelayan selain menyewakan bot kepada kaki pancing yang ingin mencandat, mereka juga turun mencandat sekiranya bot tidak disewa.

“Bagi saya yang tidak menyewakan bot, memilih untuk ke laut mencandat sotong kerana permintaannya yang amat tinggi sepanjang masa.”

“Saya bersama rakan akan ke laut pada jam 6 petang dan pulang pada jam 7 pagi dengan jarak perjalanan kira-kira 17 batu nautika untuk ke lokasi mencandat,” katanya.

Yang paling melegakannya apabila pada musim sotong biasanya dia tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini