comscore
Tumpuan :
Dunia

Pemilik gudang menyimpan mercun ditahan

Oleh: Tuan Daniya Meringing

SONGKHLA: Sepasang suami isteri warga Thailand yang mempunyai waran tangkap mahkamah Narathiwat susulan letupan gudang simpanan mercun di Munok, pada 29 Julai lalu ditahan semalam.

Kedua-duanya yang berusia 42 tahun ditahan di sempadan Bukit Kayu Hitam-Sadao.

Media tempatan melaporkan pasangan berkenaan bercuti di Malaysia sejak hari kejadian.

Menurut polis Sadao, kedua-dua suspek menghubungi peguam peribadi untuk menyerah diri kepada pihak imigresen Sadao semalam.

Pada jam 5.40 petang waktu tempatan polis melakukan pendakwaan terhadap mereka dengan tuduhan kecuaian yang membawa kematian, kecederaan dan menyebabkan  kemusnahan harga benda, memiliki dan mengimport mercun dan bunga api tanpa kebenaran serta melanggar undang-undang darurat.

Kedua-duanya kemudian dibawa ke Balai Polis Munok untuk siasatan lanjut.

Tambah polis, sehari selepas letupan, mereka kembali ke Thailand melalui pintu sempadan Ban Prakorb Nathavi, Songkhla dan masuk semula ke Malaysia pada 31 Julai sebelum dikenakan waran tangkap.

Sebelum ini, polis Thailand memohon bantuan PDRM untuk mengesan dua pemilik gudang berkenaan yang dipercayai telah melarikan diri ke Malaysia.

Ketua Polis Narathiwat Mej Jen Anuruth Imarb berkata kedua-dua pemilik gudang sebelum ini telah memaklumkan kepada polis akan menyerah diri pada 1 Ogos, namun gagal berbuat demikian dan waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka.

Dalam kejadian Sabtu lalu, 12 orang maut, manakala 300 cedera dalam letupan di gudang penyimpanan mercun dan bunga api berkenaan.

Statistik Pejabat Wilayah Narathiwat menunjukkan 681 premis termasuk rumah, kedai dan sekolah musnah dan mengalami kerosakan dalam insiden pada 3.05 petang waktu tempatan.

Selain itu, 41 kenderaan dan 27 motosikal turut musnah dan lebih 3,000  penduduk terjejas.

Loading...
Terkini