comscore
Tumpuan :
Dunia

Panas melampau, menjejaskan rutin penduduk Filipina, Thailand 

MANILA: Panas melampau yang melanda Filipina menjejaskan pengeluaran hasil ladang serta mengganggu bekalan air, secara tidak langsung menjejaskan kehidupan harian penduduk di sini.

Golongan yang paling teruk terkesan akibat keadaan cuaca semasa ialah pelajar, menyebabkan mereka ketinggalan dalam bidang pendidikan berbanding negara jirannya di Asia Tenggara.

Difahamkan suhu kini mencecah ke 50 Celsius di pelbagai wilayah di Filipina, sewaktu fenomena cuaca El Nino memburukkan lagi bahang haba pada bulan musim panas dari Mac hingga Mei.

Menurut kajian antarabangsa sistem pendidikan, Program Penilaian Pelajar Antarabangsa, Filipina antara negara dengan pencapaian terendah di dunia dalam bidang matematik, sains dan membaca, sebahagiannya disebabkan oleh pembelajaran jarak jauh yang tidak mencukupi ketika pendemik berlaku.

Kini, ribuan sekolah di Filipina terpaksa menggantung kelas kerana cuaca panas dan data Kementerian Pendidikan menunjukkan, ia menjejaskan lebih 3.6 juta pelajar.

“Pada Mei, kami menjangkakan lebih banyak penggantungan kelas kerana gelombang haba.“Kami melihat suhu purata melebihi 52 darjah Celsius. Jadi, anda boleh bayangkan betapa tertekanannya pelajar,” kata Penasihat Pendidikan Asas untuk Save the Children Filipina, Xerxes Castro.

Bahang haba yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim kini menyukarkan pelajar untuk belajar dengan selesa dalam bilik darjah.

Menurut Save the Children Filipina, kanak-kanak amat terdedah kepada penyakit berkaitan haba seperti pening, muntah dan pengsan apabila terdedah kepada haba melampau untuk tempoh yang lama.

Pelajar dan guru juga menyatakan kebimbangan mengenai kesukaran dalam pengajaran dan pembelajaran jauh, terutama di kawasan yang lebih miskin di mana keadaan rumah tidak kondusif untuk belajar dan mungkin kekurangan akses sambungan internet yang baik.

Pelajar yang menghadiri kelas secara bersemuka di ibu kota Manila kini dilihat menggunakan kipas mudah alih, buku nota dan juga kepingan kotak untuk mengipaskan diri bagi mendapatkan sedikit kelegaan.

Sementara itu, penggunaan kuasa Thailand dikesan mencecah rekod tertinggi semalam apabila suhu meningkat di seluruh negara.

Pihak berkuasa terpaksa berulang kali mengeluarkan amaran kesihatan ekoran peningkatan jumlah kematian berkaitan strok haba.Kementerian Tenaga, berkata permintaan tenaga kini mencecah 36,356MW lewat kelmarin, melepasi paras pada 22 April.

Menurut Jabatan Meteorologi Thailand, wilayah utara dan timur laut Thailand dijangka paling panas di negara itu, dengan suhu tertinggi 44 darjah Celcius direkodkan di beberapa kawasan semalam.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk berada di tempat teduh dan mengelak daripada bekerja berjam-jam lamanya di bawah matahari.

Kementerian Kesihatan Awam merekodkan, kematian berkaitan strok haba meningkat kepada kira-kira 30 orang di seluruh negara tahun ini berbanding 37 kematian berkaitan haba direkodkan tahun lalu.

Menurut catatan di Facebook oleh pentadbiran metropolitan, indeks haba Bangkok semalam melepasi 52 darjah Celsius dan ‘sangat berbahaya’, mendorong pihak berkuasa menggesa orang ramai mengelak aktiviti luar.

Kenyataan yang sama itu diulang setiap hari sejak 20 April lalu dan Jabatan Meteorologi menyatakan, musim hujan dijangka bermula sekitar minggu keempat Mei iaitu dua minggu lewat daripada biasa.

Suhu tertinggi pernah direkodkan di Thailand ialah 44.6 darjah Celsius pada 2016 dan 2023. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini