comscore
Tumpuan :
Dunia

Mahkamah daerah di Rusia benarkan suspek ke-12 serangan pengganas di Crocus direman

Foto: Reuters

MOSCOW: Mahkamah Daerah Basmanny, Moscow membenarkan perintah reman terhadap suspek ke-12 dalam kes serangan pengganas di Dewan Bandaraya Crocus, Dzhumokhon Kurbonov sehingga 22 Mei ini, lapor Sputnik pada Sabtu.

Terdahulu, pihak penyiasat memohon kepada mahkamah supaya Kurbonov ditahan.

“Bagi memenuhi permintaan penyiasat supaya memilih langkah untuk mengekang tertuduh, Kurbonov dibenarkan untuk direman sehingga 22 Mei,” kata hakim.

Kurbonov didakwa menyediakan rakan subahatnya dengan peralatan komunikasi dan wang untuk menampung keperluan, kata Mahkamah Bandar Raya Moscow. Menurut peguam suspek, Kurbonov sendiri bersetuju untuk beliau ditahan.

Pada 22 Mac lepas, beberapa lelaki bersenjata memecah masuk Dewan Bandaraya Crocus dekat Moscow ketika sebuah konsert sedang berlangsung dan menembak secara rambang ke arah penonton.

Mereka juga menyalakan api di sebuah daripada auditorium yang penuh dengan penonton konsert. Serangan itu mengakibatkan 145 orang maut dan ramai lagi cedera.

Empat suspek utama kes ini cuba melarikan diri daripada lokasi kejadian dengan sebuah kereta tetapi berjaya ditahan dan didakwa kerana melakukan jenayah keganasan. -BERNAMA-SPUTNIK

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini